Monday, December 20, 2010

Siapa, Dari Mana, Untuk Apa & Ke Mana?


Siapakah Kita?

Kita terdiri daripada jasad (zahir) dan roh (batin). Kita ada nafsu, akal, jiwa dan perasaan. Apabila kita tahu hakikat ini, kita juga tahu bagaimana mengisi keperluan zahir dan batin itu. Jika keperluan zahir tidak cukup, fizikal jadi lemah. Kekosongan roh membuat kita resah, gelisah dan tidak tentu arah. Terpulang kepada kita untuk menentukan pengisian kombinasi dua jasad ini supaya seimbang (fizikal dan spiritiual). Dan bergantung atas kebijaksanaan kita juga untuk mengawal nafsu, akal, jiwa dan perasaan agar dapat memberi kebaikan kepada diri kita dalam menempuh hidup.

Dari mana?
Kita berasal dari mana? Sebelum kita datang ke dunia ini, kita semua berasal dari mana? Jawapannya ialah, kita semua berasal dari alam roh. Terfikirkah kita, sebenarnya sebelum ini kita sudah wujud di suatu alam lain. Tidak kira siapa, kita sama-sama mengalaminya sebelum ini. Di sana kita pernah ditanya oleh Allah: “Bukankah aku ini TUHAN kuam?” Roh menjawab: “ Bahkan kami naik saksi...” (Al-‘Araf:172).
Maknanya dari tempat asal, kita sudah bersaksi bahawa Allah itu Tuhan kita. Inilah pengakuan yang akan kita pegang sehingga beralih ke alam yang lain pula.

Untuk Apa?
Firman Allah S.W.T: “Tidaklah Aku jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepadaKU. (Az-Zaariat : 60). “Ingatlah ketika Tuhan mu berfirman kepda malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas bumi” (Al-Baqarah:30).
Rupa-rupanya kita hidup di dunia dengan membawa dua tanggungjawab khusus iaitu untuk beribadah kepada Allah dan menjadi wakil Allah di muka bumi. Dalam melaksanakannya, semata-mata adalah untuk menjadi keredhaan Allah, juga untuk memastikan bahawa syariat Allah berkuatkuasa di muka bumi dan dihormati kesuciannya.

Ke Mana?
Apabila hidup manusia berakhir, ke mana kita pergi? Kematian bukanlah penghujung riwayat hidup. Kita akan pulang ke kampung asal iaitu Akhirat. Kita akan melalui kehidupan dalam keadaan yang serba berlainan. Jasad kembali menjadi tanah dan roh kembali ke akhirat untuk dinilai prestasinya semasa di dunia. Di akhirat kita akan dapat ganjarannya. Apabila kita memilih jalan kebaikan di dunia dengan mentaati Allah, maka syurgalah balasannya di akhirat. Jika kita pilih jalan kederhakaan, neraka yang akan menanti kita. Harapan kita semoga terpelihara daripada balasan azab Tuhan.
“Dia telah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian dia menetapkan ajalmu dan ajal yang ditentukan di sisi-Nya, kemudian kamu bimbang juga kepada-Nya.” ( Al-An’am:2).
Sekarang kita sudah tahu siapa kita, untuk apa kita hidup dan akan ke mana perginya kita. Semoga kita tidak akan terkapa-kapai dalam melayari bahtera kehidupan kita ini.

Source: Muslimah: Bitaqah Yaumiyah 1419-1420

Blogger templates